Monday, 22 July 2013

TIPS1

Proses sosialisasi sihat, kasih sayang bantu pertumbuhan minda kanak-kanak

ANAK adalah harta keluarga yang amat bernilai. Anak yang terbentuk wataknya dengan baik bakal menyumbang kepada keluarga dan negara. Apalagi kalau minatnya menuntut ilmu adalah tinggi, ia bakal menjadi anak cemerlang. Anak cemerlang adalah modal insan yang amat bernilai bagi negara. Anak seperti ini bermula pembentukan dirinya di rumah. Ibu bapalah guru yang terawal sebelum anak ke sekolah. Sekolah berperanan melanjutkan tradisi pembentukan watak dengan ilmu dan kemahiran di samping pemupukan nilai baik.

Sebagai ibu dan bapa, ilmu dan ketrampilan mendidik adalah perlu. Ilmu mengenai perkembangan minda, emosi, psikologi dan perkembangan psikomotor atau jasmaninya adalah penting bagi memahami pembesaran anak. Ketrampilan memberikan kasih sayang, belaian dan komunikasi amat dituntut kerana naluri yang subur di kalangan anak memerlukan pengisian.

Anak perlu dikenal bakat dan potensinya sejak kecil. Bakat ini perlu digilap dengan kegiatan dan suasana yang mendorong perkembangan naluri yang sihat dan contoh teladan baik. Anak sejak kecil lagi suka bertanya sesuatu yang dilihat dan hal yang dialami di persekitarannya. Anak juga suka bermain dan menonton cerita kartun di media elektronik. Malah, ada anak yang suka berkawan dengan rakan sebayanya.
Pada tahap ini ibu bapa perlu memberikan bimbingan dan pedoman supaya soalan daripada anak dijawab dengan bahasa mudah difahami, penjelasan yang tidak berupa leteran, di samping memuji yang tidak berlebihan sekiranya anak menunjukkan kejayaan dan kebolehan dalam sesuatu perkara. Ia akan memberi rangsangan kepada anak untuk membina sifat yakin diri.

Pertama yang harus dilakukan oleh ibu bapa ialah mewujudkan suasana rumah yang kondusif atau sesuai supaya proses pembelajaran boleh berlaku dengan baik. Anak akan menjadikan ibu bapanya teladan dan dapat belajar daripadanya dengan kasih sayang dan belaian. Sekiranya ibu bapa tidak mewujudkan suasana ceria di rumah, anak tidak akan berasakan ada suasana yang boleh dipelajari di rumah atau rumah yang menyediakan suasana yang tidak teratur di mana pertengkaran ibu bapa sering berlaku, cakap ibu bapa yang tidak serupa bikin, ketegangan sering tercetus dan akhirnya anak tidak berasakan rumah sebagai sekolah awal bagi mereka.

Kasih sayang bermakna ibu bapa melihat anaknya sebagai harta masa depan yang perlu dibentuk secara fitrah. Ibu bapa harus memiliki cara lembut dan bijaksana, tetapi terarah supaya naluri ingin tahu dan meniru disalurkan secara sihat dan mendidik. Kalau anak tersilap, teguran yang membina harus dilakukan. Maki-hamun, gertak bengis dan memukul anak bukan jalan keluar yang diperlukan. Ibu bapa harus mempunyai kesabaran tinggi kerana kerenah anak memerlukan daya komunikasi yang baik supaya ada hubungan dua hala antara ibu bapa dan anak untuk mewujudkan rasa percaya yang tinggi.

Kedua, daya komunikasi yang tinggi di kalangan ibu bapa membolehkan belaian, kasih sayang, tunjuk ajar, memahami gelagat dan tingkah laku mereka supaya tidak wujud jurang antara ibu bapa dengan anak. Jurang hubungan sering berlaku apabila ibu bapa tidak faham kerenah anak dan tidak memiliki pengetahuan dan ketrampilan bagaimana kenakalan dan kelasakan anak dapat diatasi. Jalan singkat selalunya dengan menghukum dan mendera mereka.

Komunikasi menjadi lebih penting apabila anak masuk ke alam remaja. Jadikan anak sebagai kawan dan teman setia. Pada tahap ini, anak sedang mencari identiti diri, suka berkawan, ingin menampilkan bakat dan kebolehan, suka diberikan apresiasi atau penghargaan dan mahukan perhatian terhadap masalah berfikir, emosi dan naluri yang dihadapi. Komunikasi berasaskan ilmu dan pengetahuan, nasihat dan teguran yang mendidik boleh membantu anak mengenal dirinya, tahu akan masalahnya dan diberikan pedoman bagaimana mengatasi.
Ketiga, ibu bapa harus memperuntukkan masa berkualiti bersama anak-anaknya. Ada hak anak terhadap ibu bapa yang mesti diberi dan diraikan. Pada hari ini, ramai ibu bapa yang bekerja dan sibuk di luar rumah.
Bayangkan anak kecil yang ditinggalkan oleh ibu bapa antara lapan hingga 10 jam pada hari kerja akan berasa sunyi, bosan dan kosong. Kalau ibu bapa balik lewat dan sampai di rumah dalam keadaan letih, di samping banyak hal rumah yang tidak terurus, anak akan berasa terpinggir dan tersingkir.

Sekiranya hal ini berlaku berulang ia boleh mendatangkan masalah kepada anak. Masa yang berbaki harus mampu diberikan kepada mereka supaya kebosanan yang terjadi, kesunyian yang berlaku dapat diisi kembali dengan belaian, kasih sayang, malah kegiatan yang merangsang minat dan bakat mereka.


Terima kasih